Pendarahan Haid Berkurangan (Haid semakin sedikit) Sewaktu Menggunakan Pil Pencegah Kehamilan
*Artikel berdasarkan soalan pengunjung
Gambar dari: myshortlutealphase.com
Pendarahan haid yang semakin berkurangan adalah sesuatu yang biasanya normal dan tidak dianggap merbahaya dari sudut kesihatan.
Perkara ini selalu terjadi di kalangan wanita yang mengambil Pil Perancang Kehamilan (PPK) ber-dos rendah. PPK selalunya bertindak merencat hormon yang biasa dihasilkan oleh badan iaitu FSH, LH, Estrogen dan Progesteron kemudian menggantikannya dengan hormon Progesteron dan Estrogen dalam PPK tersebut.
Berikut merupakan fungsi setiap hormon normal yang terdapat dalam badan wanita:
- FSH = Follicular Stimulating Hormone = Bertindak membina sel follicular dan ovum (telur)
- LH = Leutinizing Hormone = Bertindak membebaskan sel ovum yang telah dibina ke dalam salur rahim
- Estrogen = Bertindak menebalkan dinding uterus (rahim) /endometrium
- Progesteron = Bertindak mengekalkan dinding endometrium yang telah dibina oleh estrogen dan memberi signal kepada otak untuk mengurangkan penghasilan hormon FSH dan LH.
Kebiasaannya, individu yang memakan PPK (Pil Perancang Kehamilan) mempunyai paras estrogen yang hampir sama dengan paras estrogen sebelum menggunakan PPK. Walaubagaimanapun, disebabkan FSH direncat oleh progesteron, segelintir wanita mengalami kekurangan paras estrogen dalam darah. Oleh sebab itu, segelintir wanita ini mengalami pendarahan haid yang semakin berkurangan (setelah 3 ke 6 bulan) berbanding majoriti yang lain, dan berkemungkinan berhenti dari pendarahan haid.
Perkara ini langsung tidak merbahaya, dan tidak memberi kesan kepada kesuburan dan boleh diperbaiki sejurus sahaja individu berhenti dari penggunaan PPK. Walaubagaimanapun, untuk berhenti daripada menggunakan PPK bukanlah satu keperluan kerana terdapat pelbagai alternatif lain untuk mengembalikan pendarahan haid yang normal. Sekiranya pendarahan haid berlaku dalam 1-2 hari, penghidap masalah ini tidak perlu risau dan boleh mengabaikannya kerana ia tidak memberi sebarang ancaman kepada wanita tersebut.
Pendapat lain juga mengatakan bahawa, individu yang sudah terlalu lama menggunakan PPK mendapati paras estrogen yang dibekalkan oleh pil menjadi semakin kurang berkesan dalam merangsang penebalan dinding rahim akibat tindak balas badan mencernakan estrogen lebih pantas (pharmacokinetic metabolism) atau reseptor estrogen di rahim kurang sensitif terhadap estrogen (down-regulation). Oleh itu, dinding rahim menjadi semakin nipis dan atropik. Kesannya, sewaktu berehat dari penggunaan pil tersebut, pendarahan haid adalah begitu sedikit.
Sekiranya Haid berhenti:
- Pertama sekali, pastikan dari doktor bahawa anda sebenarnya bukannya mengandung.
- Berbincang dengan doktor untuk menukar PPK yang mengandungi kandungan hormon yang berbeza. Kandungan hormon yang berbeza akan di cernakan (metabolized) dengan cara yang berbeza.
- Anda boleh menambah estrogen (Premarin .625 mg atau Estrace 1 mg) kepada PPK anda untuk meningkatkan stimulasi estrogen kepada uterus anda, justeru menebalkannya dan mengakibatkan pendarahan haid yang lebih ketara. Setelah pendarahan haid menjadi normal, estrogen extra ini boleh dihentikan dan diulangi semula apabila pendarahan berkurang kembali.
- Anda tidak perlu risau sekiranya perkara ini berlaku kerana kebanyakan kes ini tidak berpunca daripada sesuatu yang bahaya.
Walaubagaimanapun, sila rujuk dengan doktor yang selalu merawat anda atau pakar gynekologi untuk mendapatkan diagnosis daripada keputusan makmal dan informasi yang lebih tepat..
Forum antara individu yang menghadapi masalah yang sama (Bahasa inggeris):
Read more: http://www.blog.kesihatanonline.com/2011/07/pendarahan-haid-berkurangan-haid.html#ixzz1VjuqwaWr